Analisis isu-isu hukum dalam ibadat haji: Kajian perbandingan antara pandangan Kementerian Agama dan Persatuan Islam di Indonesia / Muhammat Nuri
Tesis ini bertajuk “Analisis Isu-Isu Hukum Dalam Ibadat Haji: Kajian Perbandingan Antara Pandangan Kementerian Agama Dan Persatuan Islam Di Indonesia”, memberikan gambaran secara jelas mengenai isu-isu hukum yang sering kali muncul dalam perlaksanaan ibadat haji khususnya antara dua badan hukum y...
Saved in:
Summary: | Tesis ini bertajuk “Analisis Isu-Isu Hukum Dalam Ibadat Haji: Kajian Perbandingan
Antara Pandangan Kementerian Agama Dan Persatuan Islam Di Indonesia”,
memberikan gambaran secara jelas mengenai isu-isu hukum yang sering kali muncul
dalam perlaksanaan ibadat haji khususnya antara dua badan hukum yang berbeza sudut
pandangannya dalam menentukan pelbagai hukum di Indonesia. Ibadat haji apabila
dilaksanakan dengan benar akan meningkatkan mutu keimanan dalam mencapai puncak
kesempurnaan sebagai seorang muslim dalam melaksanakan syariat Islam. Kementerian
Agama (KEMENAG) dan Persatuan Islam (PERSIS) adalah suatu badan hukum yang
menangani pelbagai hal keagamaan, khususnya ibadat haji di Indonesia. Namun
perbezaan yang sangat ketara antara keduanya adalah dari segi pegangan bermazhab.
Kementerian Agama cenderung berpegang kepada salah satu mazhab khususnya
mazhab Syafii, sementara Persatuan Islam sebaliknya tidak berpegang kepada manamana
mazhab, atau lebih dikenali sebagai golongan anti mazhab. Oleh itu, kajian ini
dilakukan untuk mengetahui latar belakang penubuhan Kementerian Agama dan
Persatuan Islam serta pengaruhnya kepada masyarakat Indonesia, mengetahui dasar dan
sumber pengambilan ijtihad dalam menentukan hukum-hukum ibadat haji dan
menganalisis isu-isu hukum ibadat haji yang berbeza antara dua badan hukum tersebut
sama ada benar-benar mengikuti salah satu dari empat imam mazhab yang muktabar.
Bagi tujuan tersebut, pengkaji telah memadukan metodologi kajian antara metode kajian
perpustakaan dan metode kajian lapangan. Hasil kajian mendapati bahawa penyebab
utama perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama khususnya antara dua badan
tersebut adalah kerana perbezaan sahabat dalam memahami nas mujmal (bersifat
umum), perbezaan kecenderungan penerimaan hadis, perbezaan ijtihad masalah yang
tiada nas dan terdapat nas yang masih umum. Cara mengatasi perbezaan tersebut tiada
lain kecuali menumbuhkan kesedaran dalam kalangan para ulama dan pengikutnya agar
berfikiran terbuka dengan prinsip bahawa apabila hukum Islam tersebut berasaskan
empat dasar yang disebut sebagai sumber hukum adalah benar. Dan yang salah apabila
hukum itu tidak disandarkan ke atas dalil-dalil tersebut di atas. Maksudnya selagi
hukum itu mempunyai landasan yang kuat, cara istinbat hukum yang mengikuti kaedahkaedah
yang benar dan memiliki keilmuan yang cukup untuk berijtihad dalam
mengeluarkan sesuatu fatwa, maka hukum itu adalah benar dan boleh diikuti. Selain itu,
hendaklah pemerintah mengadakan pertemuan dari pelbagai golongan khususnya dari
ulama Persatuan Islam dalam satu majlis fatwa agar bersama-sama melaksanakan
hukum yang telah disepakati dan ditetapkan bersama secara komitmen. Tanpa usaha
tersebut, maka impian untuk mewujudkan keharmonian dan kedamaian tanpa ada
perbalahan mengenai suatu isu hukum yang bersifat furu‘iyyah (cabang) dalam
mengaplikasikan hukum Islam di Indonesia khususnya dalam lapangan ibadat haji sukar
diwujudkan. |
---|